Pencarian dalam hidup aku belum berakhir. Tak terbayang pun satu titik noktah. Kadang-kadang aku nampak bayangannya, tapi entah, sekilas pandang semua terbang hilang. Ya, aku tak nafikan kadangkala aku sendiri yang tutup mata bila aku tiba di persimpangan, seolah-olah aku tidak mahu ia berakhir, tak mahu itu yang jadi penyudahannya, kerana aku tahu aku berhak menentukan hidup aku. Bukan orang lain. Sedangkan mak dan ayah pun hanya mampu menunjukkan arah pada aku, inikan pula jasad asing yang tak terikat darah denganku. Sukar rasanya mencari sudut persamaan bila asas yang terbina tak serupa.
Sudah begitu lama rasanya sejak insiden yang menghancurkan impian aku berlalu. Peristiwa yang merubah cara pemikiran dan pertimbangan, hati dan perasaan, juga perkataan. Pembawakan diri yang lebih agresif ku kira buat aku lebih selesa dengan persetankan kata orang. Aku juga punya hidup seperti kau, kau dan kau yang tak sudah-sudah berkata aku itu dan ini, sedangkan kau, kau dan kau tahu benar aku juga punya impian besar, dan hasil kata-kata kau, kau dan kau impian aku musnah, ya, memang impian aku musnah kerana kegagalan aku, tapi terdorong oleh perlakuan kau, kau dan kau juga, tahu?
Dulu aku hidup dengan menjaga hati orang, menjaga mulut orang, sampai hati aku tidak serupa hati lagi, dan mulut terkunci. Hanya air mata yang mampu bercerita deritanya hati bila terhukum seorang aku hanya kerana apa yang tak aku pinta, tapi yang Tuhan kurnia. Hasad dengki dan rasa hati yang tidak pernah puas dilempar semudah memejam mata kau, kau dan kau. Dan aku, terbiar sendiri mengutip cebisan hati yang berkecai , ku cantumkan dengan deraian air mata yang tak pernah surut dalam hati. Tapi zahirnya, tak pernah terlihat oleh siapa pun, hanya antara aku dan Tuhanku.
Ya aku sendiri. Juga beberapa insan yang prihatin. Yang aku kenang jasa mereka selagi Tuhan izinkan. Yang sentiasa di ingatan, yang sering hadir dalam rindu. Benar aku rindu. Bila Jalan Kehidupan yang ku lalui ini lebih sukar dan tak terbayang, bila tak satu tempat pun benarkan aku menumpang teduh. Mulalah aku menoleh seketika jejak yang kutinggalkan, harapnya ada yang mengejar dari belakang, tapi sunyi. Hampa.
Aku keliru. Kini aku tak lagi hidup dengan kata kau, kau dan kau. Tiada lagi ayat dan baris kata kau, kau dan kau yang menggangu. Telah juga aku bina impian yang sedikit dan kian membukit, telah aku genggam bara jadi abu berterbangan, telah aku jinakkan perasaan amarah dan dendam silam. Namun hati, tetap sayu, pilu, tetap begitu. Air mata? Teman setia.
Aku impikan sinar,menyuluh terang, Aku idamkan irama, memecah kesunyian. Dan aku harapkan satu, mengisi kekosongan. Kosong jiwa kosong. Kalau kosong mengapa tak isikan saja? Kalau kosong bagaimana mahu bahagia? Kalau kosong, apa ertinya? Kosong bukan bererti tiada, kosong tak bererti tak bahagia, kosong ada ertinya. Hanya satu yang dapat jadikan kosong jadi satu. Bagaimana? Itu bukan hak aku untuk menentukan. Hanya kosong dan satu yang tahu.
Aku dambakan hati yang mendambakan aku. Aku dambakan cinta yang perlukan aku, yang mati bila tiada aku.
Aku dambakan kemaafan dalam amarahku, dan sokongan dalam kelemahan aku.
Aku dambakan kepercayaan yang melangkaui keyakinanku, dan keikhlasan dalam kesusahanku.
Aku dambakan keredhaan dalam perjuanganku, dan kekuatan dalam kedukaanku.
Aku dambakan jiwa yang indahnya menutup keburukanku, dan bahagianya buat jiwaku tenang.
Terlalu beratkah permintaan dari hati yang dulu pernah hancur dan takut terobek lagi?
Kerana aku dijadikan Tuhan tak berdaya, walau zahir tampak keras.
Kerana aku diciptakan Tuhan dari rusuk si gagah, untuk dilindungi lemahnya aku, bukan dituding semua salahku.
Ya Allah, Kau lindungilah aku, selagi rusuk ini belum pulang pada tuannya. Kerana aku begitu kerdil dalam lautan manusia yang tak tentu niat baik buruknya, dendam dan amarahnya. Amiin.
Mahu pakai kasut aku? Kalau kau mahu tahu.