Tuesday, August 17, 2010

Ramadhan di rumah Dia ",

Setiap kali Ramadhan tiba, setiap kali itulah aku rindu.

Rindukan ketenangan yang hadir, rindu debaran dada setiap kali kaki melangkah masuk ke rumah Dia. Dan aku rindu sebak di hati tatkala terlihat binaan teguh di tengah-tengah lautan manusia yang telah lama menjadi kiblat umat seagamaku.

Sepanjang hidup, 3 kali Dia menjemput aku jadi tetamu di rumah Dia. Pertama kali waktu itu aku kosong, tak mengerti yang wajib yang sunat, yang aku tahu, pertama kali itu yang paling manis kerana dapat menikmati harumnya Batu Hitam di sudut binaan teguh itu. Ketika itu usia baru 6 tahun. Walaupun tidak faham setiap perlakuan mereka, aku merasa seronok berjalan keliling binaan teguh itu, dan berulang-alik antara 2 bukit, tanpa sedikit pun letih, apatah lagi minta didukung, yang aku ingat, Ayah pimpin tangan aku, dan bila Ayah berlari-lari anak, aku pun ikut sama :)

Kali kedua sewaktu usia 10 tahun. Kali ini aku pergi bersama Ayah dan Mama sahaja, kata Ayah sebab aku cemerlang dalam peperiksaan. Betul juga, sebab sebelum peperiksaan akhir tahun, Ayah janjikan pakej umrah kalau aku dapat nombor 1 dalam batch. Dan kerana terlalu mahukan itu, aku berusaha dan berdoa dan Dia jadikan aku tetamu Dia lagi tahun itu. Waktu ini hanya 3 perkara yang masih lekat di ingatanku. Pertama, setiap kali pulang dari rumah Dia, pasti Ayah belikan aku jus mangga yang tak terbanding dengan mana-mana jus mangga di Malaysia. Satu hari, aku minta jus mixed fruit, dan akibatnya, sewaktu mengikut Ayah makan malam bersama rakannya di hotel lima bintang di sana, aku muntah teruk. Kedua, sepanjang berada di sana, aku berkomunikasi dengan Ayah dan Mama dalam Bahasa Inggeris, peliknya, bila sampai saja di Malaysia, terus keras lidah menyebut perkataan Bahasa Inggeris. Ketiga, tiket penerbangan pulang ke Malaysia masih belum disahkan, sehingga hari terakhir tempoh sah visa, bermakna 10 hari berada di tanah Dia. Waktu itu, sebenar-benarnya aku sudah rindukan Malaysia :)

Kali ketiga dan yang paling mengujakan adalah sewaktu usia 14 tahun. Waktu ini agak kelam-kabut juga lah dibuatnya. Tiket penerbangan hanya disahkan beberapa hari sebelum berangkat. Waktu itu pertengahan Ramadhan, waktu penerbangan pula sejurus selepas waktu berbuka. Ayah masih bekerja pada sebelah siangnya, dan kami tiba lewat di KLIA. Tapi memang itu yang selalu Ayah lakukan, sebab ada kelebihan check-in lewat. Akhirnya kami dapat upgrade ke bussiness class secara percuma :) rezeki Ramadhan :)

Uniknya ziarah kali ini adalah pemergian kami tidak melalui mana-mana agensi pelancongan. Memandangkan Ayah berpengalaman luas dalam bidang Umrah & Ziarah, kata Ayah biar mencabar dan menarik sedikit. Aku akur sajalah, duit Ayah kan :)

Tiba saja di Jeddah, kami hampir-hampir lewat untuk penerbangan ke Madinah, kerana lapangan terbang yang berbeza. Tak dinafikan juga kerana sistem imigresen disana yang kurang efisyen. Nasib baik Ayah tahu berdiplomasi dengan orang-orang Arab, dapat juga kami sampai di lapangan terbang satu lagi dengan bantuan rakan Ayah di Jeddah.

Tiba saja di Madinah, aku keletihan yang amat. Dan bila ditanya kepada Ayah tentang hotel, Ayah kata, tunggu dulu dekat lobi hotel dan Ayah berjalan bersama rakannya mencari hotel yang lebih cost-effective. Memang ziarah bajet ni :) Memang aku tertidur di lobi hotel tersebut, dan bila tersedar, Ayah kembali dan membawa kami ke hotel lain. Tak ingat lah apa nama hotelnya, ada 3 katil, dan bilik air kecil. Cukuplah untuk kami berempat.

Waktu itu di Madinah memang sejuk. Kali pertama kami hanya solat di luar Masjid Nabawi. Sejuknya Tuhan saja yang tahu. Sudahlah pakaian ala kadar dan hanya bertelekung, tahan gigil aje lah :) Tapi aku seronok. Pengalaman Ramadhan pertama di tanah suci :)

Ketika sampai di masjid sebelum Maghrib, ramai yang mengagih-agihkan makanan, di dalam masjid, di luar masjid, di tepi-tepi jalan. Tak kira bangsa, warna kulit dan rupa, putih atau hitam pakaiannya, kerana yang ada di situ semuanya satu agama :)dan sambil itu si pemberi akan berkata, "Fi Sabilillah" :) Selepas berbuka ala kadar dan solat maghrib di masjid, kami kembali ke hotel, dan Ayah keluar mencari makanan berat untuk mengisi perut yang lapar (sebab tak sempat bersahur pada pagi nya). Ayah seronok mencuba pelbagai makanan tempatan, dan paling mengujakan aku adalah kentang goreng yang gemuk-gemuk belaka :) Untuk sahur juga Ayah belikan kami nasi di jual orang Pakistan, besar-besar butir nasinya :) Hidangan seorang kami makan empat orang :)

Di Masjid Nabawi juga, aku pertama kali bersolat Jumaat. Menarik kan? (siapa kata perempuan tidak boleh solat jumaat!)

Menariknya lagi,aktiviti membeli-belah rancak pada sebelah malam selepas Solat Tarawikh. Ayah kata kedai-kedai ini buka sebelah malam hingga waktu sahur, dan kemudian siangnya tutup. Tidak lama di Madinah, 19 Ramadhan kami bersiap untuk ke Makkah. Yang menariknya, Ayah tidak mahu mengikut rombongan bas jemaah Malaysia yang bertolak pada waktu yang sama, tapi Ayah bawa kami ke stesen bas.

Sampai saja di sana, masyaAllah, ramainya manusia, lebih dahsyat dari Puduraya sesaknya. Berebut-rebut orang membeli tiket, tiket yang ada hanyalah selepas Asar sedangkan waktu itu Zuhur pun belum. Bertambah menarik, walaupun tiket dibeli mengikut jadual bas yang bergerak mengikut waktu, orang-orang Arab ini berebut-rebut menaiki bas walaupun membeli tiket yang lebih lewat waktunya. Pantang ada bas yang membuka pintu, berebut-rebut mereka sampai bertolakan tak kira lelaki perempuan walaupun memakai ihram! Dahsyat! Waktu itu aku hanya mampu berdoa, kerana tak terfikir satu cara pun aku akan terselamat menaiki bas jika begitu gayanya masyarakat Arab.

Alhamdulillah, sekali lagi rezeki Ramadhan dihadiahkan buat kami. Ayah berbual dengan seorang pemandu bas Indonesia, dan kebetulan dia mahu memulakan perjalanan, dia minta Ayah bawa kami menunggu betul-betul di depan pintu bas tersebut sebelum dilihat orang lain. Syukur, aku tak perlu bertarung dengan apa yang telah aku saksikan sebelumnya :) Kami berbuka dalam perjalanan dan selepas niat ihram di tempat Miqat, aku tidur sepuas-puasnya (kerana sebelumnya tidak dapat tidur disebabkan anak-anak orang Arab yang menjerit-jerit memanggil ayahnya dari depan ke belakang dan juga orang Arab yang bergaduh kerana menurunkan tempat sandar kerusi).

Dan bila niat ihram dah terlafaz, bersedialah dengan dugaan di bumi Dia. Cabaran pertama, aku tersedar sewaktu orang lain nyenyak tidur kerana tekak begitu perit. Dan hampir-hampir tak dapat bernafas. Bila diselidik, rupanya ada manusia tak bertanggungjawab sedang menghisap rokok dalam bas yang tertutup! OK kesabaran teruji.

Setibanya di Makkah, sedikit terubat bila saja terdengar bacaan imam solat tarawikh dari Masjidil Haram. Waktu itu bermulanya Malam ke-20 Ramadhan. Patutlah berebut-rebut orang masuk ke Makkah, mahu mengejar Lailatulqadr. Turun saja dari bas, kami terpaksa menunggu lagi rakan Ayah. Dugaan datang lagi, aku begitu sesak dengan asap kenderaan.

Sudahnya, aku demam panas ketika dalam ihram, dan hanya keesokan harinya barulah dapat menunaikan ibadat Umrah. Perasaan pertama kali melihat Kaabah tersergam begitu indah amat mengasyikkan. Rasanya seperti jatuh cinta pandang pertama, betul tak tipu! Terasa sangat ingin menyentuhnya, melihatnya sebanyak mungkin, dan kerana aku juga, Mak terpaksa berjalan jauh ke dalam masjid, kerana aku mahu melihat Kaabah :)

Berbuka di Masjidilharam tidak begitu berbeza dengan di Madinah. Pernah sekali kami terlewat sampai, azan sudah berkumandang dan tak ada satupun makanan di tangan, ketika itu ramai yang menghulurkan kurma dan roti. Sebak aku seketika, kerana aku yakin, di bumi itu, takkan pernah Dia biarkan kita merasa susah.

Di Makkah, kami berkongsi juadah dengan rombongan jemaah Malaysia. Ayah tidak begitu setuju, kerana kata Ayah tak seronok tak dapat merasa makanan tempatan di Makkah. Aku ikutkan saja, janji ada makanan :)

Pengalaman Ramadhan di Tanah Haram hingga ke hari ini masih segar dalam ingatan. Seronoknya bertarawikh di sana hinggakan tak terasa malas menyudahkan 20 rakaat, bukan kerana peluang datang hanya sekali, tapi semangatnya Imam melagukan ayat-ayat suci dan bacaan qunut yang menyayukan yang buat aku begitu rindu suasana itu.

Dan setiap kali Ramadhan menjelang tahun-tahun setelah itu, aku jadi sayu, jadi rindu. Mungkin tidak sampai doaku ke langit untuk jadi tetamu Dia lagi. Mungkin banyak perkara yang perlu aku perbetulkan sebelum melangkah ke Tanah Suci. Mungkin Dia ada pilihan waktu yang lebih baik untuk aku ke sana. Mungkin juga kali ini aku harus berusaha lebih menyimpan duit sendiri untuk sampai ke sana. Dia, Maha Mengetahui.

Yang aku tahu, setiap kali menonton siaran langsung solat tarawikh dari Tanah Suci itu, aku jadi sayu :(

Dan kepada yang membaca, semoga satu hari nanti kita dijemput jadi tetamu Dia. Aamiin. :) :) :)

2 comments:

  1. sungguh touching skali. rs mcm kat situ plak. untung tau mas, dpt umrah masa bulan puasa kat sana. tp tu lah, disebabkan kita dpt rasa dok kejap je kat situ, itu buat kita rs rindu n aku bleh jamin la semua org dah balik mesti ada azam untuk ziarah lagi. tp haritu kawan aku cek kalau mendaftar skarang tabung haji, insyaallah tunggu que 2036 paling awal untuk dpt gi haji thru tabung haji.lol. lameenye la. tu pun kalo panjang umur. haha

    pape pun, betul, bukan suma org Dia jemput jadi tetamu. n kalau kita syukur, insyaallah satu hari nt kita akan dijemput lagi (Ibrahim : 7)

    ReplyDelete
  2. yeah. heard bout the 2036 thing. tapi, kalau nak pegi awal ade carenye. daftar je, pastu nanti kalau nama mak ayah naik insyaAllah TH panggil. thats wut my Mom told me :)

    nway, thanx for reading :D smoge satu hari nanti kite dijemput lagi. Aamiin :D tak sabar nak tengok the New look of Masjidilharam :)

    ReplyDelete