Friday, September 4, 2009

Daerah ini...

Sehingga saat ini, sudah lebih kurang 4 tahun 2 bulan aku jadi penghuni daerah ini. Pelbagai ragam manusia dan bukan manusia yang setia melintas depan mata untuk dilihat, di hati untuk di fahami, di fikiran untuk ditafsir, dan di telinga untuk didengari. Ya, ragam yang pelbagai itu mewarnai hari-hari seorang aku, yang kadangkala bisa buat aku tertawa riang, dan lain masa buat aku hampir-hampir putus asa.

Sejak hari pertama aku pikul bebanan seorang mahasiswa, aku sedar dan maklum tak semua yang dirancang menjadi, dan tak semua yang jadi tak dirancang. Tapi aku masih lagi diri aku, tak mahu lagi peduli apa kata orang, dan aku tidak perlukan pembantu peribadi ke sana ke mari 24 jam sehari. Tak kira apa caranya, aku mahu di penghujung hari aku tidur nyenyak.

Dan setelah tiga tahun bergelumang dengan buku, nota dan minit mesyuarat, aku akhirnya puas sendiri dengan apa yang dianugerahkan Tuhan kepadaku. Terlalu bahagia dan terhutang budi dengan daerah ini, aku terus mencari peluang dan ruang untuk meneruskan langkah asalkan aku masih bernafas di daerah ini. Dan syukurku sekali lagi bila peluang itu datang saat aku benar-benar memerlukan. Walaupun keadaan agak berbeza, aku masih lagi jadi penghuni daerah ini.

Pejam dan celik dan pejam dan celik semula. Dan kehidupan aku banyak berubah di daerah ini. Perubahan kecil atau besar, yang pasti itu semua adalah konklusi kepada jalan yang aku pilih dahulu. Setelah hampir 4 tahun di daerah ini, aku tidak pasti sama ada sayangku pada daerah ini masih seperti dulu. Dan aku seolah kian terlupa mengapa aku masih setia di sini.

Ya, benar. Aku teruskan perjuanganku di sini kerana sayangku pada daerah ini. Tapi semakin jauh perjalananku, semakin aku tidak mengenali pemastautin daerah ini. Seorang demi seorang memperlihatkan warna-warni kehidupan masing-masing. Dan kebanyakannya hanyalah indah di bawah sinar, sebenarnya kelam.

Senyumnya plastik. Kata-katanya sekadar sedap di telinga. Hatinya entah sumpah seranah apa. Di depan bijak mengatur langkah. Di belakang habis cerita satu dunia. Dan yang paling aku kecewa, tak pernah sekali aku mencabar egonya, tak pernah sedikitpun menghalang laluannya, apatah lagi menjaja kekurangannya, walaupun aku sedia maklum buruk baiknya.

Sia-sialah aku bersangka baik. Akhirnya aku juga yang tanggung kesan dan akibatnya.

Kini aku hanya menghitung hari. Bila sampai waktu nanti, aku akan pergi. Jauh dari si senyum plastik. Jauh dari si mulut manis. Jauh dari si muka dua.

Dan kepada daerah ini, maafkan aku andai aku melangkah pergi. Aku perlu hidup dalam lingkungan orang berilmu yang kelakuannya serupa orang yang berilmu. Bukan pelakon drama wannabe.

Tapi, mahu melangkah ke mana?

1 comment:

  1. manusia mas........kdg2 xterjangka akal..biar di mata baik n indah....hatinya Tuhan je tahu...Moga sm2 dijauhkan dr kejahatan syaitan dan manusia (^_^)

    ReplyDelete